Saturday, December 26, 2009

PKR GESA MANSUH OSA ELAK SELEWENG

SHAH ALAM – Akta Rahsia Rasmi (OSA) perlu dimansuhkan segera bagi menjamin penyelewengan tidak dilakukan sewenang-wenangnya dalam urusan pentadbiran dan pengurusan kerajaan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa (gambar) berkata, kerajaan perlu memansuhkan OSA segera dan menggubal akta baru bagi menggantikannya seperti Akta Kebebasan Maklumat.

“Jika Akta OSA dipinda, rakyat akan dapat mengesan lebih awal jika terdapat sesuatu penyelewengan yang cuba dilakukan oleh pegawai kerajaan atau menteri, bukanlah sudah dua tahun berlaku baru hendak siasat setelah ianya menjadi buah mulut masyarakat.

“Kami yakin jika Akta OSA dimansuhkan, wang rakyat dapat diselamatkan dan digunakan untuk keperluan meningkatkan taraf hidup dan produktiviti rakyat malah penyelewengan dapat dibanteras,” katanya mengulas mengenai kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan menjadikan kebebasan maklumat sebagai dasar utama kerajaan jika gabungan parti pembangkang itu berjaya mengambil alih pimpinan kerajaan Barisan Nasional.

“Kehilangan enjin pesawat yang merupakan harta untuk pertahanan negara menggambarkan lebih banyak penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang berlaku, lebih teruk dari apa yang digambarkan rakyat sekarang ini.

“Oleh itu, bagi mengelakkan budaya negatif itu menjadi nadi kepada pemerintah, PR merasakan rakyat mempunyai hak untuk mengetahui pengurusan kerajaan dengan mengutamakan kebebasan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan Internet,” katanya.

Beliau berkata, kehilangan enjin pesawat TUDM pada 2007 itu membuktikan pengurusan kerajaan BN yang lemah dan tidak telus dan keselamatan rakyat tidak terjamin.

No comments:

Post a Comment